Tuesday 3 January 2012

No Women No Cry ( School Edition )


Sesi Persekolahan 2012 tidak sampai 24 jam lagi akan memulakan sesi pengajiannya. Saat ini hampir semua ibubapa telah pun membuat persediaan untuk anak-anak yang bakal memasuki sesi persekolahan ditahun ini. Lebih teruja lagi apabila ibubapa yang pertama kali menghantar anak memasuki sekolah di tahun satu.Tentunya serba serbi adalah baru dari hujung rambut hingga hujung kaki termasuklah dengan beg dan alatan menulis. Seperti kelaziman bagi kanak-kanak dimana jua berada.

Rata-rata minggu lepas juga kebanyakkan sekolah telah mengadakan sesi orientasi khususnya untuk pelajar tahun satu. Disesi ini juga lazim pihak sekolah dan PIBG mengambil kesempatan dengan mengadakan satu sesi penerangan dan perbincangan bersama ibubapa berkaitan dengan persekolahan, agenda dan perancangan untuk sepanjang tahun ini yang melibatkan semua pihak.

Selain daripada itu murid tahun satu juga akan menjalani satu sesi ujian bagi menentukan kedudukan kelas. Tujuan ujian ini dijalankan adalah untuk memastikan tahap pencapaian pelajar didalam kefahaman membaca,menulis dan mengira. Hasil daripada ujian ini akan menentukan kedudukan mereka didalam kelas-kelas yang telah terpilih.

Bagi ibubapa sudah pastilah kelas A atau kelas terbaik yang diisi dengan pelajar-pelajar pintar menjadi pilihan utama. Mungkin sedikit rasa ketidakpuasan hati apabila mengetahui anak mereka berada dikelas kedua, ketiga atau terakhir. Ini lumrah setiap tahun berlaku kerana persepsi semua ibubapa bahawa kelas pertama dan kedua adalah kelas bijak. Kelas bijak rata-rata guru akan memberi komitmen lebih kepada pelajar berbanding kelas terakhir.

Persepsi "A" adalah baik sudah menjadi tanda aras didalam masyarakat kita. Disebabkan itulah kebanyakkan sekolah dewasa ini menukarkan nama kelas menjadi nama-nama seperti Kelas Meranti, Kelas Cengal, Kelas Jati atau lain-lain lagi agar persepsi "A" yang sering menjadi pilihan utama secara sedikit demi sedikit dapat terhakis.

Ramai dikalangan ibubapa yang baru menghantar anak mereka memasuki alam persekolahan tidak tahu bahawa pembelajaran bagi pelajar tahun satu hingga tahun tiga ( iaitu dikenali sebagai Tahap 1 ) menekankan penguasaan kemahiran 3M dan menaakul, kemahiran asas TMK, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal,kognitif, sikap, dan nilai. Ini adalah konsep didalam KSSR. Bagi ibubapa pembelajaran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira mungkin tidak asing lagi dikalangan kita namun bagi istilah seperti menaakul, kognitif dan kemahiran TMK mungkin agak janggal bagi ibubapa yang bukan dari bidang pendidikan. Apapun itu tidak menjadi masalah kerana yang penting anak-anak dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira kerana ia merupakan asas kepada pembelajaran dan yang lain-lain akan mereka mempelajari peringkat demi peringkat berdasarkan kepada sukatan yang telah ditetapkan.

Perasaan cemas dan kecewa jika anak-anak ditempatkan didalam kelas yang bukan menjadi pilihan seharusnya dibuang jauh-jauh kerana tiada istilah pilih kasih didalam penentuan tempat tersebut. Tujuan diadakan ujian tersebut adalah sebagai panduan kepada guru untuk memastikan tahap pencapaian pelajar sebelum mereka didedahkan dengan pembelajaran sebenar. Jika pelajar masih lemah didalam mengenali huruf maka guru akan lebih menekankan pembelajaran dan perhatian terhadap mereka agar didalam Tahap 1 ini mereka dapat menguasainya sebelum meneruskan didalam Tahap 2 kelak ( iaitu tahun 4 hingga 6 ).

Selain itu pelajar yang tidak mahir didalam membaca dan menulis akan ditempatkan didalam satu kelas yang mempunyai tahap pencapaian yang serupa. Ini memudahkan guru merancang konsep pembelajaran yang sesuai ke atas mereka. Oleh sebab itu masalah keciciran atau tertinggal bas tidak akan berlaku kerana guru memahami daya kemampuan mereka. Ini juga tidak akan membuang masa guru untuk memberi perhatian khusus kepada seseorang pelajar dimana ia secara tidak langsung akan menganggu kelancaran pembelajaran murid-murid yang lain.

Ibubapa perlulah faham bahawa TAHAP 1 hanyalah untuk memastikan pelajar dapat menguasai kemahiran 3M dan menaakul, kemahiran asas TMK, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal,kognitif, sikap dan nilai. Ini adalah konsep didalam KSSR. Manakala TAHAP 2 ( iaitu dari tahun 4 hingga 6 ) pula adalah untuk pengukuhan dan aplikasi 3M dan menaakul, kemahiran asas TMK, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai. Sekiranya pelajar tercicir di tahap 1 mereka akan menghadapi kesukaran untuk ke bab seterusnya.

Kesimpulannya janganlah ibubapa menangis jika anak mereka ditempatkan dikelas kedua, ketiga atau keempat tetapi bersyukurlah dan hargailah penat lelah jasa guru yang berkorban mendidik anak-anak kita. Selamat belajar dari kami di Team bijakstudy :)


p/s : Kuasai Rahsia bagaimana memastikan anak anda berlari ke sekolah dek kerana keseronokkan menguasai Matematik. Lawati disini untuk maklumat selanjutnya.

No comments:

Post a Comment