Thursday 27 October 2011

Berlagu di era 80'an


Sifir 2 sehingga sifir 12 jika dizaman persekolahan saya dahulu diwajibkan tahu jika disoal secara spontan didalam kelas. Mahu tidak mahu sifir-sifir ini harus dihafal. Jika tidak mahu menghadapi masalah apabila disoal didalam kelas kelak.

Namun bergitu terdapat sifir-sifir yang menjadi kegemaran dan kesukaan. Antaranya seperti sifir 2, sifir 5 dan sifir 10. Sifir-sifir ini amat mudah untuk dihafal namun tidak begitu bagi guru matematik kami. Sifir-sifir ini bukanlah kegemaran dia. Sebaliknya sifir-sifir maut yang sering disoal seperti sifir 7, sifir 8, sifir 9 dan sifir 12. Apabila disoal jika tidak dapat menjawab dapatlah habuan masing-masing nanti. Itu adalah kenangan kira-kira 21 tahun yang lalu sewaktu bakal menduduki peperiksaan penilaian darjah 5.

Kaedah menghafal sifir dahulu lebih kepada kaedah berlagu. Kami akan menghafal kesemua sifir tersebut sehingga mahir. Bagaimana dan bila untuk menghafal adalah terpulang kepada inisiatif sendiri. Jadi tidak hairanlah semasa itu jika selepas magrib sayup-sayup kedengaran suara seseorang menghafal sifir memecah kesunyian malam. Buku rujukan untuk menghafal sifir tidak lain dan tidak bukan ialah buku kecil 555 atau lebih dikenali sebagai buku hutang. Semua sifir tertulis didalam buku tersebut hanya perlu membukanya apabila hendak menghafal. Nostalgia di zaman persekolahan dahulu masih segar diingatan.

Menghafal antara teknik didalam pembelajaran. Walau bagaimanapun adalah lebih baik dan berkesan jika kita memahami sepenuhnya dahulu sebelum terus menghafal. Dengan memahami sepenuhnya secara tidak langsung daya menghafal itu menjelma didalam minda kita. Hafalan akan menjadi lebih terlekat didalam otak kita. Seperti menghafal sifir, untuk memastikan kelancaran ia haruslah diulang-ulang. Proses pengulangan ini akan memakan masa dan bergantung kepada kualiti otak seseorang yang merujuk kepada minat dan daya usaha masing-masing. Sesiapa sahaja mampu menghafal cuma perbezaanya ialah tahap kefahaman masing-masing. Seumpama kita mampu menghafal lagu dan lirik hindustan yang hanya sekadar tahu menyebut tetapi tidak faham makna perkataan itulah perumpamaan yang tepat untuk dikelaskan.

Antara permasalahan yang timbul kepada saya dikala itu ialah permasalahan untuk menghafal sifir yang didarabkan dengan dua digit seperti sifir 12. Mujurlah hanya setakat sifir 12 sahaja yang perlu dihafal. Jika melibatkan sifir 13, sifir 14,sifir 15 dan seterusnya, tidak dapat dibayangkan macamana dan bagaimana keadaan lagu yang harus saya dendangkan. Apapun ini adalah proses pembelajaran. Apabila melibatkan proses maka akan adalah evolusinya. Penambahan dan pembaikan akan terus dilakukan untuk kebaikan semua sejajar dengan perubahan masa, suasana dan teknologi.

Begitulah juga dengan sifir, dari menghafal sehinggalah kepada hanya berimaginasi didalam minda semuanya adalah evolusi perubahan gaya pembelajaran. Semua kaedah dan teknik yang ditampilkan adalah bagus dan baik untuk dikuasai kerana ilmu itu seumpama sidahaga yang disajikan dengan selautan air laut makin diminum semakin dahaga terasa. Pelajari dan kautlah ilmu sebanyak mungkin kerana ilmu penyuluh kehidupan dan tanda aras kualiti seseorang. Cuba bandingkan orang berilmu dengan sebaliknya. Jawapannya, sendiri yang tahu.

Apa kekurangan dizaman menghafal sifir dahulu ?

Jika masa dapat di pause and rewind kembali pasti akan saya lakukan sesuatu dengan kaedah berlagu didalam menghafal sifir tersebut. Setidak-tidaknya saya akan memperbaiki cara dan kaedah menghafal dengan teknik yang lebih baik lagi, mungkin bukan sekadar subjek matematik sahaja bahkan semua subjek akan dibuat penambahbaikan.

Apa yang tidak kena dengan kaedah menghafal?

Lazimnya orang yang mampu menghafal akan dikatakan seorang yang mempunyai daya ingatan yang kuat. Mereka akan dilabel sebagai bijak,pakar dan hebat. Sebenarnya sesiapa sahaja yang mempunyai otak akan mampu menghafal apa saja. Apa yang kita perlu ialah ilmu tentang bagaimana hendak membina daya ingatan yang kuat.

Andaikata ilmu ini dipelajari disaat saya masih dibangku sekolah rendah paling kurang pun insya Allah hentaman kulit tangan guru matematik ke pipi bersama renjatan rotannya setidak-tidaknya dapat dikurangkan. Lihatlah kerugian apabila kita tidak mempunyai ilmu.Umumnya kaedah menghafal yang terbaik ialah haruslah mempunyai 3 perkara berikut (ini adalah mengikut kefahaman saya, jika anda tidak menyetujuinya minta maaf) iaitu ,

1. Pemerhatian.
2. Minat
3. Sistem/kaedah/teknik

Huraian.

1. Pemerhatian
Melihat dan memerhati adalah dua perbezaan yang sama tetapi tidak serupa. Ramai orang melihat tetapi tidak memerhati. Dalam ertikata yang sebenar kita hanya melihat tetapi tidak pasti atau was-was apa yang kita lihat jika disoal kembali. Semudah bertanya gambar apakah yang tertera disyiling 50 sen didalam poket anda. Apa yang dijawab mengesahkan keterangan tadi. Apabila menyebut pemerhatian, ketelitian seharusnya ada didalam pemerhatian tersebut. Jika tiada ia seumpama melihat sahaja yang tidak dapat memberi impak tindakbalas didalam pemerhatian kita. Seumpama melihat gadis cantik dan kawan sekelas sedang melintas. Siapa yang akan kita perhatikan? Perhati dengan teliti segala yang ada padanya. Pasti si gadis tersebut berbanding dengan rakan kita. Itulah ibarat pemerhatian dengan penuh ketelitian kerana ia akan membuat minda kita mengingatinya dengan lebih mendalam.

2. Minat akan membuat manusia sanggup melakukan apa saja. Tidak perlu dipersoalkan mengapa dia sanggup mendaki gunung beribu-ribu kilometer jika itu bukan minat kita.Minat membezakan apa yang dilakukan oleh seseorang dan minat juga menentukan pencapaian didalam pelajaran. kalau kita minat terhadap subjek matematik, bukan setakat sifir 12 sahaja yang akan dihafal mungkin sehingga sifir tanpa had akan dikuasai. Minat akan melonjakan daya usaha bagaimana untuk memenuhi minat tersebut.

2 Sistem atau kaedah atau teknik perlu dipelajari dan dikuasai. Sistem boleh diertikan sebagai satu ilmu pengetahuan yang menunjukkan jalan untuk mencapai sesuatu. Tanpa satu sistem mungkin kita seumpama si buta yang kehilangan tongkat dijalanan.
Apa perkaitan 3 perkara diatas?

Mari kita gabungkan ketiga-tiga perkara diatas.

Untuk mewujudkan daya ingatan yang kuat, kita perlu memerhati kerana kita tidak mungkin akan mengingati apa yang kita tidak perhatikan. ( Istilah memerhati ialah melihat dengan penuh ketelitian ). Namun begitu kita masih lagi sukar untuk mengingati walaupun kita telah melihat dan memerhati sekiranya kita tidak berminat untuk mengingatinya. Dan untuk mewujudkan minat didalam setiap pemerhatian dan kekal segar didalam minda sehingga sampai waktu yang diizinkan Allah maka sistem/teknik atau kaedahlah yang memainkan peranannya. Tahukah anda bahawa dalam masa seminit saja kita mampu membuat daya ingatan mengingati apa saja jika kita mengikut sistem yang betul.

Bayangkan jika dahulu menghafal sifir dengan hanya menyebut jawapan sahaja malah boleh dari atas ke bawah, depan ke belakang, kiri ke kanan, bukankah hebatnya disaat itu berbanding berlagu yang panjang-panjang memakan masa berbulan-bulan. Apa pun itu adalah perjalanan sebuah kehidupan mencari ilmu. Kalau tidak meniarap dan merangkak masakan tahu lantai itu licin atau tidak.




No comments:

Post a Comment