Monday 14 November 2011

Fear Factory

Fear Factor?
Kenapa ketakutan terhadap risiko sesuatu perkara itu adakala menjadi begitu besar kepada kita, hinggakan menjadi batu penghalang kepada sebuah kejayaan yang diimpikan?

Lumrah semua manusia mempunyai perasaan sedemikian. Ketakutan adakalanya disulam oleh bibit-bibit kerisauan yang menjalar penuh didalam dada dan benak fikiran adakalanya menyesakkan nafas. Kerisauan ibu terhadap masa depan anak-anak. Kerisauan bapa terhadap pelajaran anak-anak dan sebagainya adalah sebahagain contoh jenis kerisauan yang semua dikalangan kita merasainya.

Akibat dari kerisauan yang berlebihan adakalanya membawa kita memilih jalan selamat tanpa berani menongkah atau bersemuka dengan risiko tersebut.Ramai yang memilih untuk terus bertapa didalam zon keselesaan berbanding menjerumus kedalam lumpur tersebut. Memandang kesukaran yang bakal dihadapi meskipun dijanjikan habuan yang lumayan, ramai yang memilih agar tidak menjadi pemain didalam arena tersebut.Apa kesudahannya...Jawapan yang mudah. Jika didalam perniagaan, pemain yang bergelumng didalam lumpur pekat adalah pemenang sejati. Bukan setakat zon keselesaan yang akan mereka kecapi, malah lebih tinggi lagi dari itu yang akan mereka dapat. Kesukaran mengharungi lumpur hanyalah sekali dan detik itulah harta yang tidak dapat dijual beli. Sebuah pengalaman.

Pengalaman adalah pembelajaran dan ia tidak datang mencari seseorang melainkan diri sendiri yang terjun kedalam bersama-samanya untuk merasai sendiri jerit pekik, suka duka penangan yang tersembunyi didalamnya. Mereka yang bijak tidak akan dipatuk kedua kali oleh ular yang sama didalam lubang yang sama. Jika terkena juga selayaknya dipanggil sibodoh, kerana tidak mengambil aktibar dari pengalaman yang ada. Pengajaran dari pengalamanlah yang mematangkan mereka.

Lumpur yang pekat jika tiada sesiapa yang berminat adalah peluang kepada mereka yang berani. Tiada orang tiadalah persaingan. Tiada persaingan mudah untuk merancang. Meskipun lumpur pekat yang meloyakan, jika diterjah dengan kesabaran dan penuh berhikmah, jangan terkejut jika pukat yang ditahan akan dirodok oleh keli dan haruan.Masakan tidak, jangan disangka lumpur yang tenang tiada ikan didalamnya.

Sifir untuk menghilangkan ketakutan adalah mudah. Semudah anda menghafal sifir 2 atau sifir 5. Lihat rajah berikut

Semakin tinggi anda menguasai ilmu pengetahuan tentang sesuatu perkara maka semakin rendahlah risiko yang bakal anda terima. Begitulah sebaliknya.


Jika rendah atau tiada ilmu pengetahuan tentang sesuatu perkara maka risiko yang bakal anda terima adalah tinggi. Berpunca dari tiada ilmulah yang menyebabkan ramai memilih untuk terus kekal didalam keadaan yang sedia ada. Adalah lebih malang lagi jika mereka ini yang lantang sekali mempersoal dan bercerita tentang sesuatu perkara padahal apabila ditanya sumber rujukan atau pengalaman, sekadar berkata dengar dari orang. Layakkah untuk dijadikan fakta manusia seumpama ini?

Seperkara lagi, apabila telah mempunyai ilmu penuh didada jika diukur setinggi gunung Himalaya namun masih lagi tidak berguna jika tidak berani untuk bertindak. Bertindak berpandukan ilmu barulah segala musibah dapat dielak.Bertindak adalah punat segalanya.Jika tidak, meskipun rezeki telah berada dihadapan mata belum tentu anda yang punya.

Ilmu + Tindakan = Kejayaan




No comments:

Post a Comment