Tuesday 20 March 2012

Ilmu Ibubapa

Anak ibarat kain putih dan ibubapalah yang akan mencorakkan dengan perlbagai rekaan dan sesungguhnya corak keislaman adalah satu-satunya corak yang terbaik yang menjaminkan kejayaan didunia dan akhirat.

" Tidak ada pemberian yang diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab yang mulia". - Imam Tarmizi

Keluarga adalah satu entiti terpenting bagi manusia. Setiap manusia mempunyai keluarga dan manusia yang normal mempunyai keinginan untuk membina keluarga sendiri. Membina keluarga sendiri menjadi cita-cita setiap anak Adam lelaki dan perempuan setelah sah bergelar suami isteri. Anak adalah anugerah dan harapan ibubapa untuk melengkapkan perjalanan didalam sesebuah kehidupan setelah sah menjadi suami isteri. Semudah yang diimpikan agar semuanya berjalan dalam keadaan yang menggembirakan selalu haruslah beringat kerana ia adalah satu metafora bagi setiap insan. Selagi bergelar insan selagi itulah dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi sebagai satu ujian dari Yang Maha Kuasa untuk setiap hambaNya.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Setiap ujian dan cabaran yang diberikan kepada seluruh hambaNya disediakan kemudahan bersamanya. Allah tidak membebankan hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul oleh mereka. Setiap kesulitan ada jalan penyelesaiannya. Hanya sikap bersabar dan bertaqwa mampu membezakan antara manusia yang berjaya atau sebaliknya.

Sesungguhnya ujian mendidik anak adalah satu cabaran kepada setiap ibubapa. Tambahan pula dengan perubahan demi perubahan yang pesat berlaku atas nama kecanggihan teknologi yang merubah ketamaddunan manusia menambahkan lagi cabaran-cabaran baru untuk mendidik mereka. Lihat saja perubahan yang berlaku kepada setiap dikalangan kita. Kehidupan dahulu yang dialami semasa kecil kini tidak mampu lagi dicipta untuk generasi baru ini. Daripada hanya tahu bermain gasing atau senapang buluh manakan setanding dengan iPad atau Angry bird yang menjadi mainan dikala ini. Perubahan teknologi merubah segalanya dan kita tidak mampu menahannya. Jika melawan arus sebagai jalan pilihan, kita sendiri akan tenggelam kebelakang.

Namun semua cabaran itu bukanlah halangan besar didalam mendidik anak-anak. Perkara yang paling penting ialah ILMU. Ibubapa yang berilmu pasti tidak akan menghadapi sebarang kesulitan didalam proses mendidik anak-anak. Dengan ilmu ibubapa dapat mengharungi segala cabaran yang melanda dan mampu mengawal anak-anak daripada sebarang bahaya, halangan serta tipu daya yang bakal dihadapi didalam perjalanan membesarkan anak-anak. Paling ditakuti apabila tidak mempunyai ilmu untuk mendekatkan diri kepada tuhan Yang Maka Esa. Satu perkara yang perlu difahami, dihayati dan berikan tindakan segera.

Renungi kata-kata perbualan antara Luqman Al Hakim dengan anaknya takala anaknya bertanya
" Wahai ayahku, apabila manusia ingin menjadi baik, apakah perkara paling asas yang perlu dimilikinya ?'. Jawab Luqman, " Agama." Si anak bertanya lagi, " Jika dua perkara". Beliau menjawab, " Agama dan harta". "Jika tiga perkara?". Jawabnya," Agama, harta dan malu"'. " Jika empat perkara?". Berkata Luqman," Agama, harta, malu dan akhlak yang mulia." " Jika lima perkara?". jawabnya," Agama, harta, malu, akhlak yang mulia dan pemurah". " Jika enam?". Jawab Luqman, " wahai anakku, apabila kelima-lima perkara ini berhimpun pada individu itu, maka orang itu adalah insan yang bersih lagi bertaqwa. Allah memeliharanya dan beliau terselamat daripada hasutan syaitan.

Justeru perkara penting didalam mendidik anak-anak ialah ilmu. Langkah permulaan ialah dengan memenuhi ilmu didada para ibu dan bapa. Proses memenuhkan ilmu didada tidak akan berhenti setakat umur persaraan sahaja. Ilmu itu ibarat garam semakin diminum semakin terasa kehausannya dan orang yang berilmu itu tidak pernah berasa puas dengan ilmu yang dimilikinya. Jadi ibubapa di alaf moden, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin dan manfaatlah teknologi dan kemudahan sekitarnya demi kesejahteran dan rahmat dari Allah Yang Maha Esa.

"Sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah kewajipan setiap Muslim". Riwayat Imam Ibn Majah.

Jumpa lagi.


No comments:

Post a Comment